pergantungan kepada Tuhan. // Monday, July 25
|
4:24 AM |
"makin aku jauh dari ibu dan ayah aku, makin dekat aku dengan Tuhan." ini antara ayat paling kerap aku bisik pada diri dan hati sendiri. kenapa? makin jauh aku dengan ibu dan ayah aku, yang aku kenal dari aku lahir, yang selalu bimbing aku, lagi aku takut. aku takut aku menyimpang jauh. sebab selama ini, mereka ada dekat untuk tolong ingatkan aku solat dan baca quran. ingatkan aku untuk kuat dan mengadu pada Tuhan. bila aku jauh dari mereka, aku gundah. aku risau. jujur, aku takut. aku bukan manusia hebat. aku manusia. dan aku takut. takut aku lupa aku siapa. dan aku lupa Tuhan aku. kalau tidak aku fikirkan ego dan maruah aku, aku sudah lama berhenti di tengah foyer bangunan akademik dan menangis sambil menjerit. sebab sampai satu tahap, aku hilang. aku mula bertanya kembali apa tujuan aku di sini. betulkah ini yang aku benar-benar lakukan. ketika rasa hilang dan sesat itu datang, aku rasa nak mengalah. mengalah itu musuh utama aku. separuh jalan itu musuh aku. dan aku fikir, aku mungkin jauh dari ibu bapa aku, tapi aku ada Dia. aku ada Tuhan. Dia tempat aku banyak mengadu. aku tak perlu malu menangis di hadapannya dan berkata, "Tuhan, aku lemah. Bantu aku. Kuatkan aku." sebab bila aku mengadu pada Tuhan, Dia tak judge aku. Dia tahu aku dan aku bergantung sepenuhnya pada Dia. bila di sini, aku rasa aku bukan aku. aku seperti harus berpura-pura untuk muat di celah-celah manusia yang baru aku kenal. dan itu perit. dan itu sakit. sebab aku tak mampu untuk jadi orang lain hanya untuk orang lain. kadang-kadang, aku pandang cermin dan semua perkara yang berlaku di sini seperti berlari di hadapan mata aku dan hati aku berbisik, "Mana kau yang selama ini kau pertahankan?" aku fikir aku sudah hilang identiti. kerana aku yang sebenar adalah yang jenis ada masa untuk menyendiri dan bila di sini, tak pernah sekali aku menyendiri kerana nanti mereka bertanya, "Kau okay?" ya, aku okay. bila aku menyendiri bukan kerana aku sedih atau depresi. tapi itu memang aku. menyendiri itu ingatkan aku pada diri aku. sendiri itu aku. aku bukan seperti yang orang lain fikirkan. kadang-kadang aku jatuh, aku rebah kemudian berdarah. tapi aku kemudian berdiri, dan terus berjalan. kemudian aku berlari. dan aku tak berhenti. kau tahu kenapa aku tak berhenti? sebab aku bisik kemudian bercakap di bawah nafas kemudian menjerit, 'Aku kuat. Aku kuat. Aku kuat.' dan orang yang paling aku sayang, rasa dan kasih mereka bersama-sama aku, dan yang penting, Tuhan aku, Tuhan aku ada bersama-sama aku. Aku, hamba yang lemah, yang hanya mencari dan mengaduh simpati-Nya di kala tenat sahaja. |

Older entries